KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Boustead Plantations Bhd (BPB) meningkat 51 peratus kepada RM73.22 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022, daripada RM48.38 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat 44 peratus kepada RM348.96 juta daripada RM242.78 juta sebelum ini disebabkan kenaikan harga produk sawit, yang membawa kepada keuntungan daripada operasi sebanyak RM112.5 juta, kata kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Pada suku kedua, harga purata minyak sawit mentah (MSM) berada pada RM6,611 setan, lebih tinggi dari suku yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM4,014 setan.

Harga purata bulanan MSM tertinggi ialah pada RM6,857 setan yang dicatatkan pada Mei 2022, melepasi harga purata bulanan MSM tertinggi pada suku lepas iaitu RM6,780 setan pada Mac 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Zainal Abidin Shariff berkata, prestasi terbaharu kumpulan itu adalah hasil daripada usaha berterusan dalam inisiatif prestasi hasil, khususnya dalam Program Penambahbaikan Prestasi Perladangan (PPIP) yang sedang berlangsung, di samping keupayaan kumpulan untuk mengurus kos secara efektif.

Bagaimanapun, cuaca yang buruk dan kekurangan tenaga buruh akan terus memberi kesan kepada prestasi hasil kumpulan, katanya.

"Pada suku semasa, kenaikan harga diesel adalah antara faktor yang mempengaruhi kos pengeluaran kami.

"Bagaimanapun, langkah-langkah proaktif yang telah kami laksanakan di bawah PPIP membolehkan kami mengimbangi kesannya," kata beliau.

Mengenai prospek, Zainal Abidin berkata harga minyak sawit semasa dijangka mengalami pembetulan selanjutnya pada separuh kedua 2022, memandangkan stok dijangka tinggi disebabkan Indonesia menarik balik larangan eksport dan peningkatan dalam kuota eksport, konflik Ukraine-Rusia yang berterusan serta perubahan iklim global.

"Kumpulan dijangka mencatat peningkatan yang munasabah dalam pengeluaran tanaman selaras dengan kemajuan PPIP dan Strategi Penciptaan Semula Boustead.

"Kami juga menjangkakan kos pengeluaran akan meningkat pada separuh kedua 2022 disebabkan kesan gaji minimum dan kenaikan harga baja," tambahnya.

Sehubungan itu lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 2.75 sen sesaham bagi tahun berakhir 31 Dis, 2022, yang perlu dibayar pada 27 Sept, 2022.

-- BERNAMA